Hantaran tunang merupakan antara elemen penting dalam adat pertunangan masyarakat Melayu yang melambangkan kesungguhan, persetujuan dan ikatan awal antara dua insan serta keluarga.
Pemilihan barang hantaran yang sesuai untuk dulang lelaki dan perempuan sering menjadi persoalan, terutama bagi pasangan yang pertama kali melalui fasa pertunangan. Dengan perancangan yang betul, hantaran tunang bukan sahaja kelihatan cantik dan teratur, malah membawa makna mendalam selari dengan adat, kemampuan dan cita rasa kedua-dua belah pihak.
Apa itu Hantaran Tunang
Hantaran tunang ialah pemberian yang disediakan semasa majlis pertunangan sebagai tanda ikatan awal antaran dua insan.
Ia melambangkan kesungguhan, persetujuan dan komitmen untuk menuju ke alam perkahwinan. Hantaran tunang biasanya ringkas dan sederhana, bergantung kepada adat setempat serta persetujuan kedua-dua keluarga.
Antara hantaran tunang yang lazim diberikan ialah cincin tunang, manisan, buah-buahan, pakaian atau barangan keperluan peribadi. Nilainya tidak terlalu tinggi kerana pertunangan dianggap sebagai fasa perkenalan rasmi sebelum bernikah.
Beza Hantaran Tunang dan Hantaran Kahwin
Perbezaan utama hantaran tunang dan hantaran kahwin terletak pada tujuan masa pemberian dan nilainya. Hantaran tunang diberikan semasa majlis pertunangan sebagai simbol ikatan awal. manakala hantaran kahwin diberikan pada hari pernikahan sebagai tanda penyatuan rasmi pasangan suami isteri.
Dari segi jumlah dan nilai, hantaran kahwin biasanya lebih banyak dan lebih bernilai berbanding hantaran tunang. Hantaran kahwin sering merangkumi set lengkap seperti pakaian pengantin, barangan ibadah, perhiasan, kelengkapan rumah dan hadiah istimewa sebagai permulaan kehidupan berumah tangga.
14 Idea Hantaran Tunang Lelaki & Perempuan
Cincin Pertunangan
Cincin pertunangan merupakan hadiah untuk pengantin yang sarat dengan simbol cinta dan komitmen. Walaupun sering dikaitkan dengan fasa sebelum perkahwinan, cincin ini tetap bermakna sebagai tanda ikatan yang kekal.
Rekaan yang elegan, sama ada bertatahkan berlian atau batu permata pilihan, menjadikannya kenangan berharga yang boleh dipakai sepanjang hayat.
Ukiran tarikh istimewa atau inisial pasangan menambah nilai sentimental dan menjadikan cincin ini lambang janji cinta yang abadi.
Hantaran Bakul Buah


source: tips persediaan kahwin
Salah satu hantaran tunang yang hampir wajib ada ialah bakul buah. Ramai bakal pengantin memilih gubahan bakul buah yang dihiasi bunga segar dan ribbon.
Anda boleh memilih buah-buahan berwarna-warni seperti epal, anggur dan oren yang melambangkan kemakmuran dan kesihatan. Untuk kelihatan lebih unik, selitkan buah-buahan yang jarang digunakan seperti ceri, kiwi, delima, pir atau pelbagai jenis berries.
Tip tambahan: Lap kulit buah dengan sedikit minyak masak supaya buah kelihatan lebih berkilat dan segar.
Kek Hantaran


source: kek hantaran kahwin
Kek hantaran sering menjadi tumpuan kerana ia cantik dan boleh dinikmati. Pilih perisa kegemaran pasangan dan hias kek menggunakan fondant, krim atau edible flowers.
Padanan warna kek dengan tema majlis akan menjadikan hantaran ini lebih eksklusif dan menyerlah di atas dulang.
Sirih Junjung & Tepak Sirih

Dalam adat Melayu, sirih junjung dianggap sebagai ‘kepala hantaran’. Tanpanya, majlis pertunangan terasa tidak lengkap. Sirih junjung boleh digubah dalam pelbagai bentuk seperti jambangan, masjid atau rekaan abstrak.
Hiasan bunga seperti mawar, kekwa atau dahlia sering digunakan untuk menambah seri. Ada juga yang menyertakan bunga rampai atau air mawar supaya gubahan lebih wangi dan menyenangkan deria.
Pulut Kuning
Pulut kuning melambangkan kesyukuran dan kemuliaan, sering dihidangkan dalam majlis meminang dan pertunangan.
Kini, pulut kuning boleh digubah dalam bentuk moden termasuk bentuk kek. Ia biasanya dihiasi telur rebus, telur puyuh atau sayuran sebagai pelengkap. Selain itu, kuih tradisional berwarna-warni juga sesuai dijadikan hantaran.
Sejambak Bunga Segar
Sejambak bunga segar menjadi pilihan romantik dan klasik. Anda bebas memilih bunga kegemaran seperti mawar, orkid atau tulip mengikut tema majlis. Penambahan ranting hijau atau bunga kecil memberi sentuhan natural dan elegan.
Set Coklat & Gula-gula


source: hantaran coklat
Mengikut kepercayaan orang lama, hantaran manisan melambangkan hubungan yang sentiasa manis. Anda boleh memilih pelbagai jenis coklat dan gula-gula, sama ada jenama antarabangsa atau tempatan, lalu dihias cantik di atas dulang. Ia bukan sahaja sedap dipandang, malah menggembirakan penerima.
Set Telekung
Bagi pihak lelaki, menghadiahkan set telekung kepada bakal isteri penuh bermakna, memberikan nilai pahala apabila digunakan.
Sepersalinan Pakaian
Hantaran pakaian sentiasa menjadi pilihan utama. Untuk lelaki, set baju Melayu lengkap dengan samping atau songkok amat sesuai. Bagi perempuan pula, set baju kurung, kebaya atau tudung boleh digubah cantik dalam kotak atau dilipat berbentuk bunga.
Selain pakaian tradisi, pakaian formal seperti kemeja dan tali leher sesuai untuk pihak lelaki. Untuk perempuan, baju kurung moden atau rekaan pereka tempatan boleh membuatkan penerima tersenyum gembira.
Al-Quran dan Terjemahan

Memberikan Al-Quran sebagai hantaran membawa makna mendalam. Ia bukan sekadar hadiah, malah simbol permulaan rumahtangga yang diberkati dan berlandaskan agama.
Set Minyak Wangi


source: tips perkahwinan
Set wangian antara hantaran paling mudah dan popular. Pilih haruman yang digemari pasangan serta pembungkusan yang cantik dan sepadan dengan tema majlis. Ia boleh disertakan dengan body mist, shower gel atau hand cream.
Hantaran Bunga Rampai

Bunga rampai mengekalkan elemen tradisi Melayu. Dengan aroma harum dan bekas yang unik, ia memberi suasana segar serta menjimatkan kos. Gubahan bunga rampai boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti sendiri.
Set Penjagaan Diri


Set penjagaan diri seperti skincare, set mandian atau grooming kit sesuai untuk lelaki dan perempuan. Selain praktikal, ia menunjukkan keprihatinan terhadap keselesaan dan keperluan pasangan.
Hantaran Simbolik Mengikut Minat
Sebagai pelengkap, anda boleh menambah hantaran berbentuk simbolik seperti buku kegemaran, aksesori, jam tangan atau barangan hobi pasangan. Ia menjadikan hantaran tunang lebih peribadi dan bermakna.
Tips untuk Jimat Hantaran Tunang
Menguruskan hantaran tunang tidak semestinya menelan kos yang tinggi. Dengan perancangan yang bijak, anda masih boleh menyediakan hantaran yang cantik, bermakna dan menjimatkan.
1. Bincang Awal Dengan Pasangan
Langkah pertama yang paling penting ialah berbincang dengan pasangan. Tentukan berapa dulang hantaran yang perlu disediakan dan senaraikan barang hantaran bagi kedua-dua belah pihak. Sebaiknya, bincang sehingga jelas barang apa yang ingin dibeli.
Jika boleh, pergi membeli bersama pasangan supaya lebih mudah membuat keputusan. Jangan lupa, bawa mak sekali ya supaya pilihan lebih dipersetujui dan elak salah faham.
2. Dapatkan Persetujuan Kedua-dua Pihak
Semasa membeli barang hantaran, pastikan mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah keluarga. Pilih barang yang benar-benar berkenan dan akan digunakan. Kalau beli cantik tapi akhirnya tidak dipakai, ia hanya akan jadi pembaziran.
3. Beli Barang Hantaran Secara Berperingkat
Secara logiknya, membeli semua barang hantaran serentak memang memerlukan kos yang besar. Jadi, lebih baik beli sedikit demi sedikit. Contohnya, jika majlis dirancang pada bulan Mei, anda sudah boleh mula membeli beberapa barang sejak Januari. Cara ini membantu mengurangkan tekanan kewangan dan perbelanjaan besar secara sekaligus.
4. Manfaatkan Musim Perayaan & Jualan
Apa yang penting, belilah barang semasa musim perayaan atau jualan besar-besaran. Biasanya banyak diskaun menarik yang boleh membantu anda potong kos dengan ketara. Duit lebihan tersebut boleh digunakan untuk menampung keperluan majlis lain pula.
5. Elakkan Barang Terlalu Besar
Pilih barang hantaran yang bersaiz sederhana supaya mudah digubah. Contohnya, elakkan membeli handbag yang terlalu besar kerana ia menyukarkan susunan di atas dulang hantaran. Barang bersaiz sesuai bukan sahaja nampak kemas, malah lebih praktikal.
Kesimpulan
Kesimpulannya, hantaran tunang sebenarnya tidak perlu terlalu mewah atau berlebihan, sebaliknya cukup sekadar lengkap, bermakna dan dipersetujui bersama.
Apa yang paling utama ialah nilai simbolik di sebalik setiap dulang yang melambangkan komitmen, hormat-menghormati serta niat untuk melangkah ke alam perkahwinan.
Dengan pemilihan barang yang bijak dan perancangan rapi, dulang hantaran tunang lelaki dan perempuan pasti tampil indah serta memberi kenangan manis buat kedua-dua pihak.
Artikel Lain:



